Cetusan rasa

Salam bahagia,

Saya tertarik dengan artikel di bawah yang diambil dari akhbar Sinar, Khamis 6 Ogos 2009. Artikel ini adalah cetusan rasa Abd.Jalil Ali.

Baca dan Renung lah...

Kisah ‘Bangsar South’ dan Batang Berjuntai
Bangsar south? Seorang teman dari Kuala Terengganu yang baru tiba di Kuala Lumpur hujung minggu lalu, bertanya. Belum sempat saya menjawab, guru pencen itu bertanya lagi, "Kenapa tidak Bangsar Selatan?"

Dia sebenarnya melihat beberapa papan tanda penunjuk arah yang tertulis ‘Bangsar South’ ketika saya membawanya melawat Kampung Kerinchi di Bangsar, sebelum mengajaknya ke Stadium Bukit Jalil untuk menyertai Pesta Anak Terengganu.

Bangsar South adalah sebahagian dari Kampung Kerinchi. Entah siapa yang mencadangkan nama Bangsar South tidak pula dapat dipastikan. Apa yang pasti mereka yang memilih istilah Bangsar South itu ternyata tidak peka dengan bahasa Melayu. Kalau dia peka tentu tidak ada Bangsar South, tetapi Bangsar Selatan.

Orang kita memang tidak suka nama Malaysia. Mungkin pada hemat mereka sekiranya guna istilah ‘south’ akan kedengaran lebih hebat. Nama-nama Melayu sudah tidak sesuai digunakan zaman sekarang, tidak ada nilai komersial. Kalau guna Bangsar Selatan koman sangat bunyinya.

Sebab itulah agaknya nama-nama bangunan terkenal di ibu negara lebih ditonjolkan dalam bahasa asing. Contohnya, kalau sebut PDDP tentu orang tidak tahu, sebab bangunan ibu pejabat UMNO itu lebih dikenali dengan PWTC atau Putra World Trade Center. Jarang orang menyebut Pusat Dagangan Dunia Putra atau PDDP.

Orang lebih mengenali Kuala Lumpur City Center (KLCC). Kalau tanya pemandu teksi di mana Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur, pasti dia geleng-geleng kepala. Kalau sebut PBRKL pasti pemandu teksi itu tercenggang kebingungan. Sebab KLCC yang biasa ditonjolkan.

Jika anda memberitahu pemandu teksi anda hendak ke LTAKL, pasti dia tidak tahu. Tetapi jika anda kata KLIA semua orang tahu. Sebab sejak mula lagi kita mengenalkan pangkalan udara di Sepang itu sebagai Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan bukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL).

Sekarang jika disebut Bukit Bintang, masih ada yang tahu. Tetapi kawasan membeli belah terkenal itu kini lebih dikenali dengan Star Hill. Perhatikan bangunan dan toko-toko terkenal di kawasan tersebut, tidak ada satu pun nama Melayu. Semuanya nama barat, khasnya Inggeris.

Penulis masih ingat ketika mula-mula ke KL awal 70an dulu, ada sekian banyak jalan-jalan utama menggunakan nama Inggeris. Jalan Mountbatten, Jalan Campbell, Jalan Hale, Jalan Lornei, Jalan Parry dan sebagainya.

Semangat patriotisme tinggi waktu itu, dan semua jalan-jalan yang menggunakan nama penjajah itu ditukar kepada nama Malaysia. Jalan Mountbatten ditukar kepada Jalan Tun Perak, Jalan Campbell menjadi Jalan Dang Wangi, Jalan Hale kini Jalan Raja Abdullah, Jalan Lornie (Jalan Klang Lama), Jalan Parry (Jalan P. Ramlee).

Apakah setelah setengah abad menyedut udara merdeka, semangat patriotisme kita semakin mengendur hinggakan kita menukar pula nama-nama berbau kemalaysiaan kepada nama Inggeris? Bangsar South dan Star Hill adalah contoh paling jelas.

Sebelum Bangsar South kita ada Salak South. Kita ada Bandar Tasik Selatan (Cheras) yang lebih biasa disebut South Lake City. Bukit Damansara kedengaraan tidak hebat, lalu orang lebih megah menyebutnya Damansara Height. Dataran Merdeka pun kini lebih sedap disebut Merdeka Square.

Kalau boleh tukar sahaja Bangsar South menjadi Bangsar Selatan. Kalau tidak boleh janganlah ‘wabak’ Bangsar South itu dibiarkan merebak di tempat-tempat lain pula. Takut satu hari nanti semua nama tempat dan taman perumahan sekitar KL ditukar kepada nama barat.

Lebih malang lagi sekiranya kecenderungan menukar nama asal ke nama Inggeris itu menular ke luar KL termasuk di kampung-kampung terpencil. Di kampung saya di Ulu Muar sebuah gerai di tempat makan awam Pekan Bukit Gambir sudah pun menjenamakan semula gerai popular itu menjadi ‘Selera de Gambir’. Takut-takut tidak lama lagi nama Kampung Sungai Ekor tempat kelahiran saya ditukar menjadi ‘River Tail Village’.

Betapa halnya jika Alor Gajah (Melaka) satu hari nanti ditukar menjadi ‘Elephant Track’, Bukit Pelanduk (Negeri Sembilan) ditukar menjadi ‘Deer Hill’, Sungai Siput (Perak) tiba-tiba menjadi ‘Snail River’, dan Batang Berjuntai (Selangor) ditukar menjadi ‘Hanging Trunk’.

Sahabat dari Terengganu bangga sebab katanya Negeri Penyu itu mengekalkan nama-nama asal. Dia terdiam apabila saya memberitahunya Pantai Mok Nik berhampiran Kemaman telah ditukar menjadi ‘Monica Bay’. Bila pula Mok Nik jadi Monica? Takut-takut satu hari nanti Pantai Batu Buruk ditukar menjadi ‘Beach of Rotten Rock’!

Harap-harap golongan pejuang bahasa Melayu, termasuk kumpulan yang bermati-matian berusaha memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mengambil berat hal-hal Bangsar South dan ‘Snail River’. Dan,mudah-mudahn Batang Berjuntai dengan nama klasik itu terus dikekalkan.

Kak Nora: Cincin di Jasin, Melaka......'Cincinnati, Ohio, USA.
Perak ada Slim River!


Okey, jumpa lagi!

2 comments:

  1. mulai sekarang kalau orang tanya kakpah tinggal kat mana, nak jawab tinggal kat Bangi New Town.

    Star Hill? Alamak jakun nye aku... Tak pernah tahu pun ada tempat nama star hill.

    Haih... mungkin satu masa nanti nama orang melayu pun dah betukar bunyi orang putih gak. Bedah jadik beada, kiah jadik keeya kahkah..

    ReplyDelete
  2. Salam Pah,
    Pah jawab Tinggal di BBB (ringkas untuk (Bangsa-bangsa bersatu). Starhill macam Starbuck, ada kelass you. Tapi jangan, jangan tertipu,ok.

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi singgah.Komen anda dihargai.